Seremban, 8 Ogos 2025 – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dengan penuh semarak patriotisme telah menganjurkan Majlis Peluncuran Semarak Bulan Kebangsaan Tahun 2025 bertempat di Dataran Perpaduan, JPNS. Program ini diadakan bagi menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air, memperkukuh semangat perpaduan, serta meningkatkan kesedaran warga pendidikan tentang kepentingan mempertahankan nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi bersama.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Khalidah binti Haji Omar, yang dalam ucapannya menyeru seluruh warga pendidikan agar terus menghayati erti kemerdekaan melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program kenegaraan. Beliau turut menegaskan bahawa warga pendidik berperanan besar dalam menyemai nilai-nilai patriotik dalam jiwa generasi muda.
Acara turut diserikan dengan pelepasan burung merpati serta peluncuran konvoi bermotor, sebagai simbolik penyatuan semangat kebangsaan sempena Bulan Kemerdekaan 2025.

